LABUAN: Seramai 12 warga Filipina termasuk enam kanak-kanak ditahan dalam Operasi Sapu yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar ini, semalam.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan, operasi bermula jam 11 malam hingga 1.30 pagi itu membabitkan 15 pegawai dan anggota menjalankan pemeriksaan di lima premis.
Hasil operasi itu, seorang lelaki, lima wanita, empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
JIM Labuan turut mengeluarkan dua Borang IMM.29 (Saman Kepada Saksi) bagi membantu siasatan.
Jabatan itu memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi menangani isu keberadaan warga asing tanpa dokumen, pas atau permit yang sah.-DAKWAT RAKYAT POST
