KOTA KINABALU: Seramai 13 individu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas lapan serbuan menerusi Op Salju Mega dan Op Taring Chiller di tujuh daerah di Sabah, Selasa lalu.
Operasi yang dijalankan dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu melibatkan Kota Kinabalu, Tawau, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Beluran dan Ranau bagi membanteras kegiatan penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku secara tidak sah.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, operasi hasil maklumat orang awam itu turut membawa kepada rampasan pelbagai produk sejuk beku dan peralatan dengan nilai keseluruhan RM7,116,982.98.
Menurutnya, 13 individu berusia antara 18 hingga 60 tahun yang ditahan termasuk seorang lelaki warga asing dan kesemuanya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Daripada jumlah rampasan itu, kira-kira RM6.017 juta membabitkan kemudahan bilik sejuk beku, mesin penyejuk serta pelbagai peralatan, manakala hampir RM1.1 juta lagi melibatkan produk sejuk beku.
Operasi bersepadu itu turut membabitkan 131 pegawai dan anggota daripada PGA, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta pihak berkuasa tempatan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pelanggaran Enakmen Haiwan Sabah 2015, peraturan pihak berkuasa tempatan berkaitan premis perniagaan dan makanan serta Akta Cukai Pendapatan.
Nor Omar berkata, semua individu ditahan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau menegaskan PGA akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pemprosesan produk sejuk beku yang menyalahi undang-undang di Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
