KUALA LUMPUR: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneroka potensi kerjasama dalam pelaksanaan kajian serta program bagi memperkasa golongan wanita di Sabah.
Usaha itu dibincangkan menerusi kunjungan hormat Pengerusi IDS, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, di sini, pada Rabu.
Azizah berkata, pertemuan itu bertujuan mengenal pasti ruang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam menjalankan kajian berkaitan wanita di Sabah selain merangka program dan inisiatif yang mampu memberi manfaat kepada golongan berkenaan.
Beliau berharap kunjungan itu menjadi platform untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara IDS dan KPWKM, sekali gus menyokong agenda pembangunan wanita di Sabah.
“Semoga kunjungan hormat ini membuka ruang kerjasama yang memberi manfaat kepada IDS dan KPWKM, terutama dalam memperkukuh agenda pembangunan wanita di Sabah,” katanya.
Azizah turut merakamkan penghargaan kepada Nancy atas kesudian menerima delegasi IDS serta berharap perbincangan yang berlangsung dalam semangat permuafakatan itu dapat mencapai objektif yang disasarkan.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Perancangan dan Kolaborasi Strategik, Norhadznita Mohammad Ilham; Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Wanita, Kanak-Kanak dan Keluarga, Norzie Fariza Suid; serta Timbalan Pengarah Bahagian Pelaksanaan Dasar Wanita, Jabatan Pembangunan Wanita, Isabela Senti anak Rijeng.
Delegasi IDS turut disertai Ketua Bahagian Akar Umbi Ekonomi, Masmidah Arsah; Pegawai Khas Pengerusi IDS, Karim Haji Maslin; dan Pegawai Penyelidik Bersekutu, Zainald Zainuddin.-DAKWAT RAKYAT POST
