KOTA MARUDU: Sekumpulan lelaki berpakaian gelap dipercayai bersenjata dikesan menceroboh sebuah rumah di Taman Perumahan TNG 3, di sini, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, semalam.
Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum videonya tular di media sosial dan mengundang kebimbangan orang ramai.
Menerusi rakaman berkenaan, beberapa lelaki dilihat memasuki ruang tamu sebelum bergerak ke beberapa bahagian rumah berkenaan seolah-olah sedang mencari sesuatu.
Lebih membimbangkan, seorang daripada individu terbabit dilihat memegang objek menyerupai parang, manakala beberapa lelaki lain turut dilihat berkeliaran di dalam kediaman itu.
Kesemua mereka dipercayai tidak menyedari pergerakan masing-masing dirakam kamera CCTV yang dipasang di rumah berkenaan.
Difahamkan, pemilik kediaman masih berada di luar negara ketika kejadian berlaku.
Bagaimanapun, motif pencerobohan serta sama ada terdapat kehilangan barangan atau harta benda masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simun Lomudin ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan masih menunggu laporan polis daripada pemilik rumah.-DAKWAT RAKYAT POST
