SEMPORNA: Dua lelaki berusia 19 dan 25 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine dalam satu Operasi Tapis di Kampung Sungai Tohok, di sini, awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dalam operasi kira-kira jam 12.10 tengah malam hingga 12.45 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek pertama menemukan tiga peket plastik lutsinar bersaiz sederhana besar berisi ketulan hablur jernih disyaki methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 7.50 gram bernilai RM750.
Pemeriksaan terhadap suspek kedua pula menemukan satu peket plastik lutsinar bersaiz sederhana besar mengandungi bahan disyaki dadah sama dengan anggaran berat kasar 5.31 gram bernilai RM531.
Secara keseluruhan, polis merampas dadah disyaki syabu seberat 12.81 gram dengan nilai anggaran RM1,281 daripada kedua-dua suspek.
Kedua-dua lelaki berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tan berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan atau pemilikan dadah, malah operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras kegiatan berkenaan di daerah itu.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang aktiviti berkaitan dadah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.-DAKWAT RAKYAT POST
