GUA MUSANG: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki membawa tujuh individu dipercayai warga Myanmar yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah dalam sebuah kenderaan di Kilometer 10, Jalan Sungai Terah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 10.50 pagi oleh sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas sebuah Perodua Aruz dalam keadaan mencurigakan itu mendapati kenderaan berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun bersama tujuh penumpang dipercayai warga Myanmar.
Kesemua penumpang terdiri daripada lima lelaki dan dua perempuan berusia antara 17 hingga 39 tahun.
Susulan pemeriksaan itu, polis menahan pemandu serta kesemua penumpang bagi membantu siasatan. Sebuah Perodua Aruz dan sebuah telefon bimbit turut dirampas untuk tindakan lanjut.
Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai mengambil kesemua warga asing itu di sekitar Pasir Mas untuk dibawa ke Kuala Lumpur dengan bayaran RM300 bagi setiap individu.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pihak lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sehubungan itu, Sik Choon Foo menasihatkan orang ramai supaya tidak melindungi, membawa atau membantu mana-mana pendatang asing tanpa dokumen sah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan seumpama itu diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
