PONTIAN: Seramai empat individu ditahan dalam Op Perdagangan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Pontian di sekitar daerah ini, pada 11 November lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien bin Mion Hussain berkata, operasi bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari itu dilaksanakan di Kilometer 93, Jalan Johor Bahru–Batu Pahat serta sekitar Bandar Pontian.
Menurutnya, operasi membabitkan seorang pegawai kanan dan 10 anggota BSPTD Pontian itu bertujuan meningkatkan pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang lalu lintas, selain mengambil tindakan terhadap kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan.
Sepanjang operasi, polis memeriksa 112 individu dan 88 kenderaan pelbagai kategori.
Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 64 saman PDRM 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, manakala tiga kenderaan disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kenderaan yang disita terdiri daripada dua motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Dalam operasi sama, empat individu turut ditahan atas kesalahan berkaitan dadah yang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mereka terdiri daripada dua lelaki warga Myanmar berusia 34 dan 38 tahun, seorang wanita serta seorang lelaki tempatan yang turut dikenal pasti sebagai orang dikehendaki polis.
Hasil saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lagi yang berstatus orang dikehendaki didapati negatif.
Hadzrat berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui BSPTD Pontian akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang, di samping membanteras kegiatan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta menjauhi penyalahgunaan dadah.-DAKWAT RAKYAT POST
