KUALA LUMPUR: Seramai 22 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas disyaki terbabit dalam kegiatan haram secara dalam talian menerusi serbuan di dua premis kediaman sekitar ibu kota pada 11 dan 12 November lalu.
Pengarah Imigresen Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Hamsha bin Injau, berkata operasi itu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan JIM WPKL dengan kerjasama enam pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan hasil aduan awam yang sahih serta maklumat risikan selama kira-kira seminggu sebelum pasukan penguat kuasa menyerbu kedua-dua premis secara berasingan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi pertama, seramai 15 individu diperiksa sebelum empat warga asing ditahan, membabitkan seorang lelaki warga China dan tiga wanita warga Filipina.
“Di lokasi kedua pula, seramai 18 warga China ditahan, terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita,” katanya dalam kenyataan.
Secara keseluruhan, seramai 22 warga asing ditahan dalam operasi berkenaan kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen, termasuk gagal memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Pasukan operasi turut menyita lima komputer riba, 34 telefon bimbit dan sebuah penghala internet (router) yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
Hamsha berkata, hasil temu bual awal mendapati kesemua individu yang ditahan memaklumkan mereka menerima tawaran pekerjaan ketika berada di negara asal masing-masing.
Mereka turut mendakwa menerima bayaran gaji antara RM2,000 hingga RM8,000 sebulan, bagaimanapun perkara itu masih dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti peranan setiap individu serta bentuk kegiatan sebenar yang dijalankan.
Kesemua warga asing terbabit kini ditempatkan di Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan.
Dalam pada itu, Hamsha menegaskan JIM WPKL akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang.
Beliau turut mengingatkan pemilik premis, majikan dan pihak berkaitan supaya sentiasa memastikan pematuhan terhadap semua syarat serta peraturan imigresen yang berkuat kuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan disyaki melanggar undang-undang imigresen digalakkan menyalurkannya menerusi saluran aduan rasmi JIM untuk tindakan sewajarnya.
Pada masa sama, kerajaan turut menawarkan Program Repatriasi Migran bagi membolehkan warga asing berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal masing-masing.-DAKWAT RAKYAT POST
