SELANGOR: Seramai 59 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menyerbu lapan premis perniagaan sekitar Selangor dalam operasi penguatkuasaan pada 12 November lalu.
Operasi yang bermula kira-kira jam 1 petang itu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya hasil risikan selama dua minggu serta maklumat dan aduan orang awam berhubung kegiatan warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia, operasi itu membabitkan 17 pegawai pelbagai pangkat yang digerakkan ke premis-premis yang dikenal pasti.
Siasatan awal mendapati terdapat warga asing yang dipercayai menjadikan premis perniagaan sebagai tempat penginapan dan perlindungan bagi mengelakkan keberadaan mereka dikesan pihak berkuasa.
Sepanjang operasi, seramai 152 individu diperiksa, terdiri daripada 75 rakyat Malaysia dan 77 warga asing.
Daripada jumlah itu, 59 warga asing membabitkan 53 lelaki dan enam wanita ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta menyalahgunakan pas.
Selain itu, tiga saman saksi menerusi Borang 29 turut dikeluarkan terhadap individu yang berada di lokasi operasi bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM menegaskan tindakan menjadikan premis perniagaan sebagai tempat perlindungan bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa tidak akan menghalang usaha penguatkuasaan yang dijalankan.
Jabatan itu turut memberi amaran bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap majikan, pemilik premis atau mana-mana pihak yang didapati menggaji, menempatkan atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI), tertakluk kepada hasil siasatan dan peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen dan akan terus mempergiatkan risikan, pemantauan serta operasi bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara.-DAKWAT RAKYAT POST
