PULAU PINANG: Sebanyak tujuh premis perniagaan di sekitar KOMTAR, Air Itam dan Gelugor dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi OPS TEGAS yang dilaksanakan pada 12 November lalu.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), operasi bersepadu itu dijalankan dalam dua sesi, iaitu pagi dan petang, dengan memberi tumpuan kepada kegiatan perniagaan tanpa lesen, pengurusan premis melibatkan warga asing serta pelanggaran syarat lesen pihak berkuasa tempatan (PBT).
Operasi berkenaan membabitkan Jabatan Pelesenan, khususnya Unit Tindakan Khas, Jabatan Penguatkuasaan serta Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP.
Pemeriksaan dilakukan di tiga premis sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Jalan Penang, tiga premis di Jalan Paya Terubong, Air Itam dan sebuah premis di Lorong Helang 2, Desa Permai Indah, Gelugor.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat penglibatan warga asing di premis terbabit, termasuk individu yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Susulan itu, MBPP mengambil pelbagai tindakan terhadap tujuh premis berkenaan, termasuk arahan penutupan, penyitaan, rampasan serta penurunan papan iklan berdasarkan kesalahan yang dikenal pasti.
Tindakan turut melibatkan pengedapan premis dan peralatan perniagaan menggunakan pita keselamatan (security seal), selain penyitaan peralatan seperti dapur, sinki dan kelengkapan perniagaan lain.
Selain itu, dua papan iklan melintang dan satu bahan iklan berbentuk kain rentang turut dikenal pasti untuk tindakan rampasan atau penurunan. Tindakan menurunkan papan iklan juga dilaksanakan di premis yang telah tamat beroperasi.
MBPP turut menyerahkan notifikasi pemberitahuan bertulis kepada pihak berkaitan bagi memaklumkan tindakan serta arahan dan larangan yang perlu dipatuhi.
Antara larangan ditetapkan termasuk membuka, mengusik atau merosakkan pita pengedap sitaan, menceroboh premis untuk menjalankan aktiviti perniagaan serta meneruskan sebarang kegiatan perniagaan di dalam atau di luar premis sehingga isu kacau ganggu yang dikenal pasti diselesaikan sepenuhnya.
Kesemua tindakan itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memberi kuasa kepada PBT mengambil tindakan sewajarnya demi memelihara keselamatan, kesihatan dan keselesaan awam.
MBPP menegaskan OPS TEGAS akan terus dipergiatkan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, melanggar syarat lesen atau melakukan aktiviti yang boleh menimbulkan kacau ganggu kepada masyarakat.
Usaha berterusan itu mencerminkan komitmen MBPP memastikan setiap aktiviti perniagaan di kawasan pentadbirannya dijalankan secara sah, teratur dan bertanggungjawab demi kepentingan serta kesejahteraan masyarakat.-DAKWAT RAKYAT POST
