TAWAU: Dua lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terbabit kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki di Kampung Brumas, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kedua-dua suspek berusia 17 dan 18 tahun itu ditahan di perkarangan Pondok Polis Brumas oleh anggota Balai Polis Bombalai dengan bantuan dua anggota Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad.
Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa terdengar sekumpulan lelaki tidak dikenalinya berbincang berhubung hasrat membakar motosikal miliknya.
Mangsa kemudian menghampiri kumpulan itu untuk memaklumkan bahawa motosikal berkenaan adalah miliknya.
“Kedua-dua suspek itu didakwa tidak berpuas hati lalu bertindak mencekik leher dan menumbuk mangsa di bahagian mulut.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian mulut dan kesakitan di bahagian pipi.
“Mangsa turut mendakwa menerima ugutan akan dipukul sekali lagi jika terserempak dengan suspek di luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek dipercayai memasuki dan tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
“Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.-DAKWAT RAKYAT POST
