KUALA TERENGGANU: Polis sedang giat mengesan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian samun bersenjata parang di kedai emas Permata Al-Idrus, Bangunan SEDC 15, Batu Enam, Gong Badak, di sini, yang mengakibatkan kehilangan barang kemas bernilai kira-kira RM500,000.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC Suffian bin Sulaiman, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.45 pagi, 12 November lalu, apabila dua lelaki memakai topi keledar dan menutup muka memasuki premis berkenaan.
Menurutnya, seorang daripada suspek bertindak masuk ke bahagian dalam kedai dengan bersenjatakan sebilah parang, manakala seorang lagi dipercayai bertindak memantau keadaan sekeliling serta pergerakan pekerja.
“Ketika kejadian, semua pekerja kedai emas berkenaan bertindak menyelamatkan diri dengan melarikan diri ke bahagian belakang premis.
“Suspek kemudian mengambil tiga dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM500,000 sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta Perodua Axia berwarna putih bernombor pendaftaran DEU 8596,” katanya dalam kenyataan.
Suffian berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian samun itu berlaku dalam tempoh kira-kira 13 saat.
Bagaimanapun, hasil tindakan pantas polis, kenderaan yang dipercayai digunakan suspek ditemukan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada hari sama di Kampung Pak Tuyu, Mengabang Telipot, Kuala Terengganu.
Pemeriksaan forensik oleh Bahagian Siasatan Forensik (D10), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Terengganu ke atas kenderaan berkenaan turut menemukan kesan cap jari positif.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan serta mengenal pasti kedua-dua suspek.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu yang dipercayai terlibat diminta tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Turus D9 Terengganu, DSP Mohd Amy Dazni bin Danial menerusi talian 019-840 7667 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, DSP Mohd Hisham Chin bin Abdullah di talian 019-384 2529.
Orang ramai juga boleh hadir ke mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.
Polis turut meminta dua individu berkenaan tampil menyerah diri di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan.-DAKWAT RAKYAT POST
