BETONG: Sebuah rumah panjang, Rumah Anyie Rajit di kawasan Matop, Paku, Spaoh, musnah dalam kebakaran petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.14 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi sebelum tiba pada jam 5.32 petang.
Katanya, jarak lokasi kejadian adalah kira-kira 18 kilometer dari balai berkenaan.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi mengesahkan kebakaran membabitkan sebuah rumah panjang berstruktur tidak kekal.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran daripada merebak,” katanya.
Operasi berkenaan turut mendapat bantuan anggota dari BBP Saratok.
Seramai 15 anggota bomba terbabit dalam operasi itu dengan sokongan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta sebuah kenderaan pacuan empat roda (Hilux).
Bagaimanapun, setakat ini, maklumat lanjut mengenai jumlah rumah atau bilik yang terjejas, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih belum diperoleh.
Operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.-DAKWAT RAKYAT POST
