KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas ditikam di kawasan tangga berhampiran sebuah premis perniagaan di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, di sini, awal pagi tadi, dipercayai ketika cuba menghalang suspek daripada mengejar seorang penjual makanan.
Mangsa berusia 31 tahun dipercayai bertindak membantu penjual makanan berkenaan yang sebelum itu bertengkar dengan suspek berusia 38 tahun akibat perselisihan faham berkaitan perniagaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati suspek pada mulanya bertengkar dengan penjual makanan terbabit sebelum cuba menikam lelaki itu menggunakan pisau lipat.
Bagaimanapun, penjual makanan berkenaan sempat mengelak dan melarikan diri sebelum dikejar suspek.
Menurutnya, mangsa yang ketika itu berada di sebuah pusat snuker bersama rakannya dipercayai cuba menghalang suspek daripada terus mengejar penjual makanan terbabit.
“Suspek kemudian dipercayai mengambil sebilah pisau pemotong daging sebelum terserempak dengan mangsa di kawasan tangga tingkat satu berhampiran sebuah premis perniagaan.
“Suspek dipercayai menikam mangsa di bahagian dada kanan sebelum mangsa cuba melarikan diri, namun rebah di kawasan parkir berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ahli keluarga mangsa kemudian bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan memaklumkan kejadian itu sebelum membawa mangsa yang berada dalam keadaan kritikal ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas, untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.44 pagi selepas usaha menyelamatkannya oleh pasukan perubatan gagal.
Mengulas lanjut, Syed Lot berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap penjual makanan terbabit berhubung kegiatan perniagaan di kafe berkenaan.
Katanya, polis kini giat mengesan dan menangkap suspek, selain meneruskan usaha mendapatkan keterangan saksi lain yang berada di sekitar lokasi kejadian.
Pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut menemukan beberapa barang kes untuk analisis lanjut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) bagi tujuan bedah siasat yang dijadualkan esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, termasuk lokasi suspek, diminta menghubungi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Terdahulu, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas ditikam dalam kejadian pergaduhan di kawasan premis perniagaan berkenaan, manakala suspek melarikan diri selepas kejadian.-DAKWAT RAKYAT POST
