TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak bimbang dengan kemungkinan pembentukan gabungan baharu membabitkan Parti Warisan (WARISAN), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pembentukan gabungan itu adalah strategi politik parti masing-masing dan terpulang kepada rakyat untuk menilai kekuatan serta hala tujunya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah berkata, GRS akan terus memperkukuh kerjasama antara parti komponen tempatan bagi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.
“Apapun, itu semua strategi parti masing-masing dan kita serahkan kepada rakyat untuk menilai.
“Bagi saya, kita akan terus memperkukuh GRS dengan komponen parti yang turut membabitkan parti-parti tempatan Sabah. Kita bukan hanya bercakap, tetapi sudah membuktikan pencapaian menerusi laporan kewangan dan peningkatan hasil pendapatan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan pembentukan gabungan baharu membabitkan WARISAN, STAR dan KDM serta kesannya terhadap kedudukan GRS, hari ini.
Menurutnya, rakyat sepatutnya menilai sesebuah kerajaan berdasarkan rekod pencapaian dan pelaksanaan pembangunan, bukannya terpengaruh dengan percaturan politik semata-mata.
Katanya, pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) sudah menunjukkan hasil sepanjang fasa pertama, termasuk peningkatan pendapatan negeri, pertumbuhan ekonomi dan pelbagai bantuan kepada rakyat.
Beliau berkata, pelaksanaan SMJ 2.0 akan meneruskan agenda pembangunan negeri selain memberi perhatian kepada isu legasi seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur jalan raya.
Sebagai contoh, katanya, projek Empangan Air Tawau yang sebelum ini dihentikan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu kini dimulakan semula dan dijangka siap menjelang hujung tahun depan.
“Projek ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan masalah bekalan air di loji-loji sedia ada di Tawau.
“Ini antara contoh bagaimana kerajaan GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melaksanakan penambahbaikan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Mengulas sokongan terhadap tiga parti berkenaan, Nizam mendakwa pengaruh WARISAN, STAR dan KDM semakin merosot berdasarkan perkembangan politik semasa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan GRS tidak akan mengalihkan tumpuan kepada percaturan politik pembangkang, sebaliknya terus memberi keutamaan kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Katanya, pelbagai inisiatif termasuk Rumah Mesra SMJ, bantuan pendidikan serta pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan negeri.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya menilai prestasi kerajaan berdasarkan hasil pelaksanaan projek dan manfaat yang diterima, bukan sekadar dakwaan atau kritikan politik.-DAKWAT RAKYAT POST
