LAHAD DATU: Usaha memperkukuh kedudukan ekonomi pekebun kecil kelapa sawit di Sabah bakal dipergiat menerusi pendekatan pembangunan berasaskan komuniti yang menggabungkan ilmu pertanian, peluang keusahawanan dan penggunaan teknologi digital.
Inisiatif menerusi Program Pemerkasaan Pekebun Sawit Malaysia Edisi 1 – Sabah anjuran Green Project Nursery Sdn Bhd itu akan dilaksanakan secara berperingkat melalui siri jelajah dari kampung ke kampung bagi memastikan lebih ramai pekebun kecil mendapat manfaat secara langsung.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu pembangunan ilmu dan kapasiti, pembangunan nurseri kampung, kerjasama perniagaan kebun serta penggunaan teknologi dan pendigitalan termasuk kecerdasan buatan (AI).
Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN N.62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, pendekatan itu mampu membuka ruang kepada pekebun kecil untuk meningkatkan keupayaan pengurusan kebun selain meneroka peluang ekonomi yang lebih luas.
Menurutnya, pendedahan kepada teknologi AI juga penting bagi memastikan pekebun kecil tidak ketinggalan dalam perkembangan industri sawit yang semakin memerlukan penggunaan teknologi moden.
Beliau berkata, teknologi berkenaan bukan sahaja membantu mempercepatkan proses kerja, malah menyediakan akses kepada maklumat dan pengetahuan pertanian yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti.
Katanya, penggunaan AI turut berpotensi mengubah kaedah pemasaran hasil pertanian apabila pekebun kecil berpeluang memperluaskan pasaran mereka melangkaui jaringan ejen sedia ada.
Mizma turut menyifatkan inisiatif Green Project sebagai satu usaha membanggakan anak tempatan Lahad Datu dalam menghasilkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya komuniti pekebun kecil.
Beliau berharap usaha berkenaan dapat berkembang menjadi satu platform berterusan yang mampu membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar.
Mengulas peranan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), beliau berkata, organisasi itu berfungsi sebagai penghubung antara kerajaan, agensi berkaitan, sektor swasta dan masyarakat bagi memastikan pelbagai inisiatif pembangunan dapat disampaikan terus kepada golongan sasaran.
Sementara itu, Pengerusi program, Felix Jainol berkata, pelaksanaan jelajah kampung ke kampung akan menjadi antara pendekatan utama bagi menyampaikan ilmu serta memperkenalkan peluang baharu kepada pekebun kecil.
Beliau berkata, pihaknya turut merancang memperkenalkan konsep nurseri kampung dan rakan niaga kebun menerusi kerjasama dengan Green Project bagi membuka ruang kepada aktiviti ekonomi berasaskan komuniti.
Menurutnya, pakar dalam bidang berkaitan juga akan dibawa menyertai siri jelajah berkenaan untuk memberikan tunjuk ajar mengenai penjagaan kebun sawit serta kaedah meningkatkan hasil pengeluaran.
Dalam usaha memperluaskan penggunaan teknologi, Green Project turut memberi perhatian kepada penglibatan generasi muda, khususnya anak-anak pemilik tanah, supaya mereka dapat membantu ibu bapa memahami teknologi baharu selain mempelajari kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam pengurusan kebun keluarga.
Felix berkata, pendekatan itu mengambil kira tahap penerimaan pekebun kecil yang berbeza, terutama dalam kalangan golongan berusia yang mungkin belum melihat bagaimana AI boleh membantu meningkatkan pendapatan mereka.
Justeru, pihaknya akan memberi penekanan kepada kaedah penggunaan yang mudah dan praktikal, termasuk melalui interaksi perbualan menggunakan aplikasi seperti WhatsApp.
Beliau berkata, pendedahan secara praktikal penting bagi membolehkan pekebun kecil memahami sendiri bagaimana teknologi berkenaan boleh digunakan dalam urusan harian serta memberi kesan kepada ekonomi mereka.
Program yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tun Haji Mustapha di sini pada Sabtu itu dirasmikan Mizma dan menjadi permulaan kepada pelaksanaan inisiatif berkenaan di Sabah.
Melalui pendekatan bersepadu itu, Green Project berharap dapat melahirkan komuniti pekebun kecil yang lebih berpengetahuan, berdaya saing serta mampu memanfaatkan peluang ekonomi dalam rantaian industri sawit.-DAKWAT RAKYAT POST
