MIRI: Sebanyak 30 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Motosikal yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, operasi bermula jam 11 malam pada 14 November hingga 4 pagi, 15 November 2026 itu tertumpu di beberapa lokasi sekitar bandar raya Miri.
Antara kawasan yang menjadi tumpuan ialah Jalan Marina Utama, Jalan Piasau, Jalan Pujut, Jalan Tudan, Jalan Tanjung Lobang, Jalan Bintang, Jalan Miri Bypass, Jalan Taman Tunku dan Jalan Taman Jelita.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam.
Sepanjang operasi, seramai 18 lelaki dan tiga wanita diperiksa bersama 15 motosikal.
Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan trafik dikesan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil dengan pengeluaran 30 saman.
Antara kesalahan dikenal pasti termasuk menunggang tanpa lesen memandu, mengubah suai struktur motosikal dan ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising, selain tidak memasang cermin sisi serta nombor pendaftaran.
Polis turut mengesan penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau ‘fancy’ serta beberapa kesalahan teknikal lain.
Mohd Farhan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan kerana perbuatan itu boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi asal serta mengelakkan aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan boleh disalurkan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.-DAKWAT RAKYAT POST
