RANAU: Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram dalam satu operasi di sebuah perkampungan di daerah ini, 14 November lalu.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ranau.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 0.24 gram.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Mursalin berkata, kejayaan tangkapan berkenaan adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama masyarakat yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Katanya, IPD Ranau akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau dadah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222.-DAKWAT RAKYAT POST
