ALOR SETAR – Sebanyak 86 kilogram dadah bernilai RM8.3 juta berjaya dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.
Dalam tempoh sama, pasukan pemeriksaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di lapangan terbang berkenaan turut memeriksa 2.35 juta pengembara serta mengeluarkan 1,194 Notis Penolakan Masuk (NPM).
Pencapaian itu antara kejayaan yang diberikan pengiktirafan menerusi Majlis Penghargaan Wira MADANI AKPS 2026.
AKPS dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 10 pegawai dari Wilayah Utara 1, Wilayah Utara 2 dan Wilayah KLIA menerima Anugerah Wira MADANI 2026 atas kecemerlangan kepimpinan, integriti, keberkesanan operasi dan kejayaan dalam penguatkuasaan.
Menurut kenyataan itu, di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pelbagai kejayaan operasi membanteras penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi serta penipuan pengikraran kargo turut direkodkan.
“Antaranya termasuk kejayaan risikan yang menyumbang kepada sitaan kenderaan dan diesel bernilai lebih RM1.53 juta serta rampasan beras bernilai RM1.05 juta.
“Sementara itu, di North Butterworth Container Terminal (NBCT), Pelabuhan Pulau Pinang, pasukan penguat kuasa merekodkan 40 kes tangkapan dan tahanan konsainan biosekuriti bernilai RM6.01 juta,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Menurut AKPS, di KLIA Terminal 2, pemeriksaan terhadap 79,201 pengembara menyaksikan seramai 6,058 individu dirujuk untuk semakan lanjut dan 5,988 NPM dikeluarkan sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Di KLIA Terminal 1 pula, pihak berkuasa berjaya merampas dadah dan ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai hampir RM5.97 juta hasil pemeriksaan serta operasi risikan.
Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ainah Mohd Soon yang mewakili Menteri Dalam Negeri.
Turut hadir Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bersama barisan pengurusan tertinggi KDN dan AKPS serta ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian itu.
AKPS memaklumkan pengiktirafan tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi pegawai serta anggota dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.
Kredit sumber: Sinar Harian
