KOTA TINGGI: Seorang wanita berusia 60 tahun maut selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan di Kilometer 45, Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini, Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, mangsa yang merupakan penumpang belakang sebelah kanan sebuah Proton Saga mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof bin Hj Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan membabitkan dua kenderaan itu pada 15 November 2026.
Menurutnya, kemalangan terbabit melibatkan sebuah Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun dan sebuah Proton Saga dipandu wanita tempatan berusia 28 tahun.
Proton Saga berkenaan turut membawa tiga penumpang, masing-masing seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di tempat duduk hadapan, wanita berusia 60 tahun di belakang sebelah kanan dan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di belakang sebelah kiri.
Katanya, pemandu kedua-dua kenderaan serta mangsa lain yang terlibat dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mayat mangsa pula dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi menjalani prosedur siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.
Sehubungan itu, Yusof menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi menjaga keselamatan bersama.-DAKWAT RAKYAT POST
