OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
RANAU: Aktiviti meneroka hutan pada waktu malam bagi mengesan reptilia dan amfibia atau ‘herping’ kini diperkenal sebagai tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi di daerah ini.
Lebih menarik, aktiviti itu turut dijadikan sebahagian daripada latihan meningkatkan kemahiran petugas pelancongan supaya mampu membimbing pengunjung mengenali kepelbagaian hidupan liar di habitat semula jadi.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi program Basic Guest Handling: Crafting Meaningful Experiences selama tiga hari dua malam anjuran Lupa Masa Rainforest Camp dengan kerjasama Journey with Dee Dee.
Menerusi aktiviti itu, peserta dibawa menjelajah kawasan hutan pada waktu malam dengan menggunakan lampu suluh bagi mengesan reptilia dan amfibia seperti ular, cicak dan katak di kawasan lantai hutan, celah tumbuh-tumbuhan dan kawasan berhampiran sungai.
Peserta turut didedahkan kepada teknik mengenal pasti habitat haiwan berkenaan termasuk cara menyampaikan maklumat berkaitan hidupan liar kepada pengunjung tanpa mengganggu ekosistem semula jadi.
Latihan itu turut menekankan aspek keselamatan dan etika pemerhatian hidupan liar, termasuk mengelakkan tindakan memegang atau mengganggu haiwan tanpa keperluan.
Program berkenaan turut disertai wakil pusat rekreasi Trus Madi, Tambunan dan Bombon Kampung Poring yang berkongsi pengalaman mengendalikan pengunjung di kem hutan serta destinasi pelancongan berasaskan komuniti.
Selain aktiviti lapangan, peserta mengikuti sesi teori, demonstrasi dan latihan praktikal merangkumi kemahiran komunikasi, etika profesional, pengurusan jangkaan tetamu serta asas pemanduan pelancong.
Latihan dikendalikan jurulatih bertauliah kebangsaan, Deirdre Julius Kulip, menerusi program Train-the-Trainer (TTT) dan pemandu pelancong berlesen di Sabah yang berkhidmat dengan Borneo Refugia Adventure Sdn Bhd, syarikat di bawah Kumpulan Yayasan Sabah.
Beliau menggunakan pengalaman dalam bidang pelancongan, hospitaliti dan pengurusan pengunjung bagi membimbing peserta memahami tanggungjawab serta kemahiran diperlukan ketika mengendalikan lawatan.
Malah, latihan lapangan menerusi aktiviti merentas hutan, berjalan kaki pada waktu malam dan herping turut memberi pendedahan awal kepada peserta yang berminat menceburi bidang pemanduan pelancong secara profesional.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menyempurnakan perasmian program berkenaan pada hari ketiga di Dewan Galeri Taman-Taman Sabah, Poring.
Majlis itu dihadiri lebih 30 peserta, wakil agensi dan jemputan termasuk Sutera Sanctuary Lodges, Jack Adventures, Bombon Kampung Poring serta kakitangan Taman-Taman Sabah.
Pemilik Lupa Masa Rainforest Camp, Jonis Radani berkata, kem berkenaan menggunakan nama berlesen Borneo Herping Camp dengan aktiviti pemerhatian reptilia dan amfibia pada waktu malam sebagai antara tarikan utamanya.
Menurutnya, pengunjung turut berpeluang menyusuri denai hutan pada waktu siang serta menikmati pengalaman bermalam dalam persekitaran hutan hujan.
Aktiviti ‘herping’ yang berkait dengan bidang herpetologi, iaitu kajian saintifik mengenai reptilia dan amfibia, lazimnya dilakukan pada waktu malam kerana banyak spesies haiwan berkenaan lebih aktif selepas matahari terbenam.
Pendekatan itu bukan sahaja membuka peluang kepada pengunjung mengenali kumpulan hidupan liar yang kurang mendapat perhatian berbanding mamalia dan burung, malah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara habitat semula jadi.
Program berkenaan turut membawa mesej bahawa pengalaman pelancongan bukan hanya bergantung kepada keindahan sesuatu destinasi, sebaliknya turut dipengaruhi layanan dan pengalaman yang diberikan petugas kepada pengunjung.
Seperti ungkapan yang menjadi inti pati latihan itu, pengunjung mungkin melupakan sesetengah tempat yang pernah dikunjungi, tetapi mereka akan sentiasa mengingati bagaimana mereka dihargai sepanjang berada di destinasi berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
