Oleh: Nasrawati Syarifuddin
TUARAN: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika melakukan aktiviti mandi-manda di River Bothung View Campsite, Kiulu, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.15 petang, mangsa berusia 28 tahun ditemukan orang awam sebelum pasukan bomba yang tiba di lokasi memberikan bantuan awal pernafasan dan peredaran darah (CPR).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.15 petang daripada pemilik tapak perkhemahan berkenaan.
Katanya, pasukan bomba digerakkan ke lokasi kejadian pada jam 4.16 petang sebelum menerima maklumat susulan bahawa mangsa sudah ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.46 petang dan mengesahkan mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum memberikan bantuan CPR.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 5.11 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut.
“Operasi membabitkan enam anggota BBP Tuaran dengan bantuan dua anggota EMRS dan empat anggota jentera REVO itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.21 petang,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
