TAWI-TAWI: Seorang lelaki yang dikenal pasti pihak berkuasa Filipina sebagai warga Malaysia bersama seorang lelaki Filipina maut dalam insiden berbalas tembakan ketika operasi membanteras kegiatan pengedaran dadah di Bongao, Tawi-Tawi, Filipina.
Kejadian berlaku ketika operasi serbuan beli (buy-bust operation) oleh Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA), dengan bantuan polis dan anggota Marin Filipina, di Barangay Tubig Mampallam, hujung minggu lalu.
Pegawai PDEA Tawi-Tawi, Abraham Solon Kalim mengenal pasti lelaki terbabit sebagai Janimal Bin Hajad, yang menggunakan nama samaran ‘Ungod’, manakala seorang lagi mangsa ialah Sansibar Amirul Amil, warga Filipina.
Menurut laporan, kedua-dua suspek dipercayai menyedari kehadiran anggota penguat kuasa sebelum cuba melarikan diri menggunakan sebuah bot kayu bermotor sambil melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa.
Insiden itu mengakibatkan kedua-dua lelaki berkenaan maut, manakala dua wanita yang tidak dikenal pasti identitinya turut cedera akibat terkena peluru sesat dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa merampas kira-kira dua kilogram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai 13.4 juta peso Filipina (kira-kira RM858,000), selain sepucuk pistol dan sebuah bot kayu bermotor.
Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata pihaknya sedang mengesahkan identiti dan kewarganegaraan lelaki yang didakwa warga Malaysia itu.
Beliau berkata dakwaan kewarganegaraan Malaysia berkenaan berdasarkan kad daripada sebuah klinik swasta di Sabah.
Sumber: Philippine News Agency, Bernama dan Malaysiakini.
