TAWAU: Institusi pendidikan perlu memastikan penawaran latihan dan kemahiran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selari keperluan industri bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki sijil, malah berupaya memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui, berkata keberkesanan sistem pendidikan tidak boleh dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keupayaan graduan mengaplikasikan ilmu dan kemahiran dalam alam pekerjaan.
Beliau berkata, perkembangan kerjaya lepasan institusi pendidikan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan kurikulum serta latihan yang disediakan sentiasa relevan dengan perubahan dan keperluan industri.
“Keberkesanan pendidikan bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik, malah turut dinilai berdasarkan keupayaan pelajar mengaplikasikan ilmu serta kemahiran yang diperoleh dalam kehidupan sebenar, khususnya apabila melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Tun Ahmadshah, Kolej Vokasional Tawau (KV Tawau), di sini, baru-baru ini.
Lo berkata, Tawau mempunyai potensi besar dalam sektor perladangan yang boleh dimanfaatkan bagi memperluas penawaran latihan TVET, khususnya dalam bidang teknologi pertanian pintar.
Katanya, pembangunan program latihan berdasarkan keperluan industri setempat bukan sahaja dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan warga pendidik memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan dron bagi memperkenalkan pendekatan lebih inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Beliau turut berkongsi pengalaman lawatan ke Sekolah Agama Negeri Balung yang meneroka penggunaan teknologi AI serta rakaman dron bagi membantu mengenal pasti punca permasalahan di lapangan.
Bagaimanapun, katanya, penggunaan teknologi berkenaan perlu mempunyai matlamat jelas dan dinilai keberkesanannya bagi memastikan manfaatnya dapat diteruskan.
Terdahulu, kolokium selama dua hari anjuran KV Tawau itu menghimpunkan guru, pensyarah dan penyelidik dari seluruh negara bagi berkongsi hasil kajian tindakan serta inovasi pendidikan.
Penganjuran julung kali di peringkat kebangsaan itu turut mengetengahkan inovasi seperti e-Kamus Klasik, sistem SIPPMA dan Easy Essay Canvas bagi membantu menangani cabaran pembelajaran pelajar.
Program berkenaan turut menyaksikan peluncuran e-Prosiding Kolokium Kajian Tindakan 2026 KV Tawau sebagai wadah perkongsian hasil penyelidikan dan inovasi untuk dijadikan rujukan warga pendidik.
Turut hadir, Pensyarah Kanan Politeknik Tawau, Ts Dr Tshin Lip Vui.-DAKWAT RAKYAT POST
