NUH (INDIA): Dua lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan lembu maut manakala seorang lagi cedera dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di daerah Nuh, Haryana, India, awal pagi Ahad.
Kejadian berlaku di Kampung Bima, dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Firozpur Jhirka Sadar, pada malam Sabtu hingga awal pagi Ahad.
Menurut polis, pasukan Agensi Siasatan Jenayah (CIA) Firozpur Jhirka menjalankan sekatan jalan raya selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan lembu di kawasan berkenaan.
Jurucakap Polis Nuh, Krishna Kumar berkata, suspek yang menaiki sebuah kenderaan pikap melepaskan tembakan ke arah anggota polis ketika sekatan dijalankan.
Polis kemudian membalas tembakan sehingga menyebabkan ketiga-tiga suspek mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, dua daripada mereka disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Gabbar, alias Hadiya, dari Dausa, Rajasthan, serta Sabir, anak kepada Sher Mohammad, dari Phaunanda Ka Bas di Bima.
Seorang lagi suspek yang cedera dikenal pasti sebagai Tahir, dari Kampung Ghatmika, daerah Deeg, Rajasthan. Dia kini menerima rawatan di Kolej Perubatan Nuh.
Dalam operasi itu, polis turut merampas tujuh ekor lembu, sebuah kenderaan pikap, tiga pucuk pistol buatan tempatan, tiga butir peluru hidup dan lima kelongsong peluru.
Krishna berkata, tindakan undang-undang selanjutnya sedang diambil mengikut peruntukan undang-undang.
INSIDEN KEDUA DALAM TEMPOH SEBULAN
Insiden tembakan itu merupakan kejadian kedua membabitkan individu disyaki penyeludup lembu di daerah Nuh dalam tempoh kurang sebulan.
Pada 15 Oktober lalu, seorang suspek dikenali sebagai Shahid, alias Advani, turut maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di kawasan Balai Polis Rozka Meo.
Daerah berkenaan sebelum ini menyaksikan beberapa kejadian kejar-mengejar berkelajuan tinggi dan pertembungan pada waktu malam membabitkan individu yang didakwa terlibat dalam penyeludupan lembu.
Pada Ogos 2024, seorang pelajar Tingkatan Enam maut ditembak di Faridabad selepas dikejar sejauh kira-kira 30 kilometer oleh kumpulan yang didakwa sebagai pengawal keselamatan lembu, susulan salah identiti apabila mangsa dan rakannya disangka penyeludup lembu.
Sumber: The Indian Express
