KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menegaskan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak susulan persefahaman politik yang telah lama terjalin antara UMNO, BN dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN tidak pernah berhasrat untuk bertanding di mana-mana kerusi di negeri itu dan akan menghormati persefahaman sedia ada dengan gabungan politik di Sarawak.
“BN tidak ada niat untuk bertanding di mana-mana kerusi di Sarawak kerana inilah understanding (kesepakatan) antara UMNO dan PBB Sarawak.
“UMNO dan BN tidak pernah berhasrat untuk meletakkan mana-mana calon dalam PRN Sarawak,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Deepavali PPP Malaysia di Kandiah Hall SJKT Viviekananda, Brickfiels hari ini.
Mengulas spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama lebih besar melibatkan Perikatan Nasional (PN) dan BN ke arah Putrajaya susulan kemenangan dalam beberapa pilihan raya negeri termasuk di Melaka, Ahmad Zahid berkata perkara itu masih belum dirancang secara rasmi.
Menurut beliau, pengalaman kerjasama politik yang dilalui di Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan wujud kesefahaman antara pihak terbabit, namun sebarang langkah lebih jauh hanya akan dibincangkan apabila tiba masanya.
“Apa yang telah kita lalui khususnya di Negeri Sembilan dan Melaka ialah kesefahaman politik. Kita belum pernah merancang ke arah yang lebih jauh, tetapi apabila tiba masanya, kita akan duduk sama-sama,” katanya.
Beliau turut mengulas cadangan berkaitan penyelesaian politik yang sebelum ini dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau itu keadaan yang disebutkan juga oleh YAB Anwar Ibrahim, maka beliau mempunyai hak dan mandat untuk melakukannya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan isu berkaitan Negeri Sembilan akan diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.
“Kita akan melakukan apa sahaja asalkan masalah rakyat di Negeri Sembilan diselesaikan dan pentadbiran negeri berjalan lancar mengikut landasan kerajaan Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Kredit sumber: Astro AWANI
