TAWAU: Empat atlet muda Kelab D’Sha Muayfit Tawau membuktikan kemampuan di pentas dunia apabila masing-masing membawa pulang pingat pada Kejohanan IFMA Youth World Muaythai Championships 2026 di Greece.
Lebih membanggakan, kontinjen kelab itu berjaya meraih dua pingat emas dan dua gangsa menerusi empat atlet yang beraksi dalam kategori umur berbeza.
Dua pingat emas disumbangkan Derylino Dedy dan Harith Dazzel Hari Irawan dalam kategori bawah 10 tahun (U10), manakala Izack dan Ersyabell masing-masing meraih gangsa dalam kategori bawah 18 tahun (U18).
Jurulatih D’Sha Muayfit Tawau, Sharon Andrea Gerald berkata, kejayaan itu hasil latihan berterusan, disiplin dan pengorbanan atlet, selain sokongan ibu bapa serta pelbagai pihak yang membantu pembangunan sukan Muaythai.
Katanya, pencapaian itu bukan sekadar membawa pulang pingat, sebaliknya membuktikan atlet muda dari Tawau mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan peserta dari seluruh dunia.
“Setiap atlet mempunyai perjalanan dan cabaran tersendiri. Kami datang ke Greece bukan sekadar untuk bertanding, tetapi membawa nama Malaysia, Sabah dan D’Sha ke pentas dunia.
“Empat atlet, empat pingat. Ini hasil usaha bersama dan satu kenangan yang akan menjadi sebahagian daripada legasi D’Sha,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu turut didorong sokongan Persatuan Muaythai Malaysia, Persatuan Muaythai Sabah, Majlis Sukan Negeri Sabah serta Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau.
Sementara itu, Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau, Mohd Faiz Ridwan Mohd Noor berkata, kejayaan berkenaan membuktikan atlet tempatan mempunyai bakat dan kemampuan untuk mencipta pencapaian di peringkat antarabangsa.
Beliau berharap kejayaan itu menjadi pembakar semangat kepada atlet lain, khususnya golongan muda di Tawau, untuk terus berusaha mencapai cita-cita dalam bidang sukan.
“Harapan saya, kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada semua atlet, bukan sahaja dalam sukan Muaythai di Tawau, malah atlet sukan lain untuk memasang cita-cita dan berusaha mencapai kejayaan di pentas dunia.
“Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau sentiasa menyokong usaha pembangunan bakat sukan di daerah itu,” katanya.
Untuk rekod, kejohanan yang berlangsung dari 6 hingga 16 November itu menyaksikan kontinjen Malaysia meraih keseluruhan 10 pingat emas.-DAKWAT RAKYAT POST
