BIDOR: Mayat seorang wanita dipercayai warga asing berusia lingkungan 30-an ditemukan di tepi sungai berhampiran sebuah kebun sayur di Jalan Teluk Intan-Bidor, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik bin Hasim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 12.45 tengah hari, 14 November 2026.
Menurutnya, pemeriksaan awal di lokasi mendapati mayat wanita berkenaan ditemukan dalam keadaan memakai seluar panjang di tepi sungai.
Katanya, operasi mengangkat mayat dilakukan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor.
“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada tubuh mangsa.
“Pegawai perubatan dari Hospital Tapah yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media.
Abdul Malik berkata, hasil pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan torehan pada bahagian leher, dada, lengan, siku dan kepala yang dipercayai akibat terkena objek tajam.
Berdasarkan pemeriksaan awal itu, mangsa disyaki dibunuh sebelum mayatnya dibuang di tepi sungai.
Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Tapah di talian 05-4011222 atau pegawai penyiasat, ASP Shahrul bin Shamsudin menerusi talian 017-9752668.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang atau boleh menimbulkan kegusaran awam.-DAKWAT RAKYAT POST
