KUCHING: Seramai 437 individu diperiksa manakala 83 saman dikeluarkan dalam dua siri Operasi Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 14 dan 15 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga anak Chabu berkata, operasi bermula jam 12.01 tengah malam hingga 5 pagi itu dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan bahagian serta balai polis di bawah pentadbiran IPD Kuching.
Menurutnya, operasi pertama pada 14 November memberi tumpuan di kawasan pentadbiran Balai Polis Sekama, manakala operasi kedua pada 15 November dijalankan di kawasan pentadbiran Balai Polis Tabuan Jaya.
Sepanjang kedua-dua operasi, seramai 317 lelaki dan 120 perempuan diperiksa.
Pemeriksaan turut membabitkan 388 kenderaan, terdiri daripada 96 motosikal, 267 motokar dan 25 kenderaan lain.
Hasil pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan, sebanyak 83 keping saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan ketidakpatuhan terhadap peraturan jalan raya.
Dalam operasi di kawasan pentadbiran Balai Polis Sekama pada 14 November, polis turut menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek ditahan untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Alexson menegaskan operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan secara berterusan menerusi pendekatan pencegahan dan penguatkuasaan lebih berfokus, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko mempunyai kegiatan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta tampil membantu polis dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444 atau hadir ke balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
