Editorial
PENAMPANG:Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur di hadapan Pusat Beli-Belah ITCC, Penampang.
Tindakan itu dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Penampang susulan aduan orang awam berhubung masalah parkir yang boleh menjejaskan kelancaran pergerakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Hasil pemantauan dijalankan, sebanyak lima saman PDRM (K) 170A dikeluarkan melibatkan empat motokar dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) atas kesalahan lalu lintas.
Dalam pada itu, IPD Penampang menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan parkir serta tidak meletakkan kenderaan sehingga menghalang pergerakan lalu lintas atau menjejaskan pandangan pemandu lain.
Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan.
Orang ramai turut diseru supaya bersama-sama memainkan peranan menjaga keselamatan dan ketenteraman daerah menerusi slogan, “Rumah kita, kita jaga. Daerah kita, kita lindungi bersama.”-DAKWAT RAKYAT POST.
