KUALA LUMPUR, 16 November 2026: Malaysia bakal membawa kepakaran kepolisan negara ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohamad Zainal Haji Abdullah, sebagai salah seorang penceramah jemputan pada 5th Edition of World Police Summit 2026 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.
Menurut hantaran Facebook Jabatan Pengurusan PDRM, beliau dijadual menyampaikan perkongsian menerusi sesi bertajuk “Enterprise Tracking Architecture: Modernizing Cross-Border Pursuit and Governance” yang memberi tumpuan kepada pemodenan sistem pengesanan serta pengukuhan tadbir urus dalam usaha menangani jenayah rentas sempadan.
Pembentangan itu akan mengetengahkan pendekatan strategik bagi memperkukuh kerjasama antara negara, khususnya dalam aspek tadbir urus data dan perkongsian risikan untuk meningkatkan keberkesanan tindakan membanteras jenayah transnasional.
Sesi berkenaan dijadual berlangsung di Arena B, Dubai World Trade Centre, pada 16 November 2026.
Penyertaan Malaysia dalam persidangan berkenaan turut membuka ruang untuk berkongsi pengalaman, kepakaran serta pendekatan strategik PDRM bersama komuniti kepolisan antarabangsa.
World Police Summit merupakan medan pertemuan profesional keselamatan dan penguatkuasaan dari pelbagai negara bagi membincangkan perkembangan, cabaran serta pendekatan baharu dalam memperkukuh keselamatan global. – DAKWAT RAKYAT POST
