KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa menjalankan penelitian menyeluruh terhadap pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, termasuk implikasi penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 2019, bagi mengenal pasti faktor sebenar kelewatan projek berkenaan.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P.187 Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah berkata, cadangan yang dikemukakan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, itu wajar disokong demi memastikan setiap keputusan dan pihak yang terlibat dinilai berdasarkan rekod serta kronologi sebenar.
Menurutnya, penelitian PAC tidak seharusnya menjurus kepada pembentukan persepsi bahawa Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kelewatan projek berkenaan.
Sebaliknya, beliau berkata, tanggungjawab setiap pihak perlu diperincikan kerana projek Pan Borneo berada di bawah kendalian Kerajaan Persekutuan dari segi perancangan hingga pelaksanaan.
Aksyah turut membangkitkan peranan Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, dalam peringkat awal projek ketika beliau memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), termasuk ketika pelancaran projek pada 24 April 2016 di Kampung Andus, Papar.
“Persoalannya, mengapa ketika berada dalam kerajaan Persekutuan beliau tidak membangkitkan bantahan terhadap sistem atau perancangan projek yang kini dipersoalkan?
“Kenapa isu ini hanya dibangkitkan sekarang, sedangkan beliau sendiri mempunyai kedudukan dalam kerajaan ketika projek berkenaan dirancang dan dilancarkan?” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau juga mempersoalkan keputusan pentadbiran Warisan ketika menerajui kerajaan negeri dari 2018 hingga 2020, khususnya penamatan model PDP pada 2019.
Dakwanya, rekod rasmi Kementerian Kerja Raya (KKR) yang dibentangkan di Parlimen menunjukkan penamatan model berkenaan menyebabkan gangguan terhadap pelaksanaan kerja di tapak projek.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian oleh PAC bagi menilai sejauh mana keputusan tersebut menyumbang kepada kelewatan serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Mengulas pelaksanaan projek ketika pentadbiran GRS, Aksyah berkata kerajaan negeri turut berdepan cabaran pandemik COVID-19 antara 2020 hingga 2022 sebelum memasuki fasa pemulihan pada 2023.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri kemudiannya mengambil langkah melalui rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendesak supaya pelaksanaan projek dipercepatkan.
“Hasilnya, pada Oktober 2024, kesemua 19 pakej Projek Pan Borneo Fasa 1B berjaya diserahkan kepada kontraktor yang layak untuk dilaksanakan.
“Perkembangan ini menunjukkan usaha kerajaan negeri memastikan projek berkenaan terus bergerak dan tidak terhenti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Aksyah mencadangkan supaya PAC turut meneliti keberkesanan penggunaan dana pembangunan luar bandar berjumlah RM1.5 bilion ketika portfolio KKLW diterajui Shafie.
Menurutnya, penelitian itu penting bagi memastikan penggunaan peruntukan awam dan hasil pelaksanaan projek pembangunan luar bandar turut dinilai secara menyeluruh.
Beliau menegaskan, sebarang kesimpulan berhubung kelewatan atau kemungkinan kelemahan dalam pelaksanaan projek perlu dibuat berdasarkan fakta dan keseluruhan laporan audit, bukannya andaian awal.
Katanya, kemajuan Pan Borneo ketika ini juga perlu dinilai dengan mengambil kira kronologi serta peranan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Aksyah berkata, siasatan PAC seharusnya menjadi ruang untuk mencari kebenaran dan menentukan tanggungjawab setiap pihak, bukannya dijadikan alat politik untuk memburukkan mana-mana pihak.-DAKWAT RAKYAT POST
