KOTA KINABALU, 15 November 2026 – Dakwaan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal mentadbir negeri disifatkan sebagai persepsi yang sengaja dimainkan pihak pembangkang bagi membangkitkan sentimen negatif terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, beberapa isu yang dibangkitkan kebelakangan ini, termasuk laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek Lebuhraya Pan Borneo, telah dijadikan bahan serangan politik tanpa mengambil kira fakta dan penjelasan yang telah diberikan.
Menurutnya, pihak pembangkang tidak seharusnya bertindak seolah-olah menjadi penghukum sedangkan belum ada bukti yang menunjukkan GRS bertanggungjawab terhadap kelewatan pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata, tindakan membuat tuduhan secara terbuka serta menyebarkan naratif yang tidak tepat boleh menjejaskan keharmonian dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, beberapa pemimpin kerajaan negeri juga sudah tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan, termasuk Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Joachim Gunsalam.
Bagaimanapun, penjelasan tersebut masih dipersoalkan oleh pihak tertentu sehingga menimbulkan tanggapan bahawa apa sahaja usaha dan tindakan kerajaan negeri sentiasa dilihat dari sudut negatif.
Najib turut menyelar tindakan pihak pembangkang yang didakwanya menggunakan media sosial untuk memperbesar-besarkan kelemahan kerajaan, termasuk berkaitan isu bekalan air, kerosakan jalan raya, gangguan bekalan elektrik dan kenaikan harga tiket penerbangan.
Beliau mempersoalkan tindakan pihak yang hanya mengkritik tanpa mengemukakan usaha atau penyelesaian yang boleh membantu menangani permasalahan rakyat.
“Janganlah terlalu berpolitik dan sentiasa mengadu domba di media sosial kalau tidak mahu memberi sumbangan kepada masyarakat. Kita perlu bijak berpolitik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap Hajiji terus memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan Sabah menerusi pelaksanaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Beliau turut menggesa kepimpinan kerajaan negeri supaya kekal komited memperkukuh pembangunan dan kesejahteraan rakyat tanpa terpengaruh dengan dakwaan serta kritikan keterlaluan pihak pembangkang. – DAKWAT RAKYAT POST
