Editorial
LUMUT: Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah menghadiri Program MADANI Kita (PMK) serta Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tahun 2026 di Kampung Sungai Tiram, Lekir, Perak, pada Sabtu.
Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman serta Ketua Pengarah RELA Malaysia, Datuk KPjR Rosli Yaakub.
Program MADANI Kita merupakan platform kerajaan untuk mendekatkan perkhidmatan awam kepada masyarakat menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Antara pengisian program termasuk pameran agensi, perkhidmatan gunting rambut dan pertukaran minyak enjin percuma oleh RELA Negeri Perak, pertukaran topi keledar, Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI serta pemeriksaan dan konsultasi kesihatan.
Program itu turut menyaksikan pelaksanaan aktiviti Ziarah Kasih kepada penduduk kurang berkemampuan selain penanaman benih pokok bakau sebagai usaha memelihara ekosistem alam sekitar.
Penyertaan Maritim Malaysia dalam program berkenaan mencerminkan komitmen agensi itu untuk memperkukuh kerjasama rentas agensi menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan.
Selain memastikan keselamatan perairan negara, membanteras jenayah serta pencerobohan maritim dan melindungi kedaulatan negara, Maritim Malaysia turut memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan komuniti pesisir, bantuan kecemasan serta operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di laut.
Komitmen itu selari dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang menekankan kepentingan rakyat, integriti, akauntabiliti serta penyampaian perkhidmatan berkualiti.
Maritim Malaysia akan terus memperkasakan peranannya sebagai benteng keselamatan maritim negara, selain memperkukuh hubungan dengan masyarakat dan agensi kerajaan demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara.-DAKWAT RAKYAT POST.
