Editorial
KOTA TINGGI: Seorang wanita berusia 60 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 45, Jalan Johor Bahru-Mersing, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, kemalangan itu membabitkan sebuah Toyota Vios dipandu lelaki berusia 33 tahun dan sebuah Proton Saga yang dipandu wanita berusia 28 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, Proton Saga berkenaan turut membawa tiga penumpang, masing-masing kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di bahagian hadapan, wanita berusia 60 tahun di tempat duduk belakang kanan dan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di belakang kiri.
Menurutnya, penumpang wanita berusia 60 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu kedua-dua kenderaan serta mangsa lain yang terlibat kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mayat mangsa turut dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati, peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.-DAKWAT RAKYAT POST.
