JOHOR BAHRU: Seramai 108 tahanan warga asing yang selesai menjalani hukuman dipindahkan ke negara asal masing-masing menerusi operasi penghantaran pulang oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor sepanjang minggu kedua November ini.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, pemindahan itu dilaksanakan Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas secara berterusan bagi mengelakkan tahanan yang selesai menjalani hukuman terus berada di negara ini.
Daripada jumlah itu, seramai 41 orang merupakan warga Indonesia, Bangladesh (21), Myanmar (19), Pakistan (12), Nepal (empat), Vietnam (tiga), China (dua) dan India (dua).
Turut dipindahkan ialah seorang warga masing-masing dari Singapura, Mesir, Nigeria dan Thailand.
Menurut kenyataan itu, semua tahanan dihantar pulang menerusi beberapa laluan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Bangunan Sultan Iskandar, Terminal Feri Stulang Laut serta Terminal Feri Pasir Gudang.
Kesemua tahanan mempunyai pasport sah, manakala sebahagian daripada mereka menggunakan dokumen perjalanan sementara atau Emergency Travel Document yang dikeluarkan kedutaan negara masing-masing.
Kos tiket penghantaran pulang ditanggung melalui simpanan peribadi tahanan, sumbangan ahli keluarga dan bagi kes tertentu, pihak kedutaan negara berkenaan.
Jabatan Imigresen turut memaklumkan semua tahanan yang dihantar pulang telah disenarai hitam dalam sistem jabatan dan tidak dibenarkan memasuki semula Malaysia mengikut tempoh yang ditetapkan.
Dalam pada itu, urusan penghantaran pulang termasuk pembelian tiket boleh dilakukan di kaunter perkhidmatan yang disediakan di Depot Imigresen Pekan Nenas tanpa sebarang caj perkhidmatan.-DAKWAT RAKYAT POST
