KOTA KINABALU: Sukan pickleball menjadi medium mengeratkan hubungan antara pengamal media apabila Pasukan Media dan Komunikasi Kota Kinabalu (MedComm KK) mengadakan perlawanan persahabatan menentang Relly Rebels di Dewan La Salle, di sini, malam tadi.
Aksi selama tiga jam itu membabitkan tiga kategori iaitu beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran, dengan kedua-dua pasukan memberikan saingan dalam suasana kompetitif tetapi penuh semangat kesukanan.
Setiap perlawanan menggunakan format kiraan mata rali sehingga 15 mata tanpa deuce, selain sistem terbaik daripada tiga permainan.
Pengerusi MedComm KK, Christopher Bernard Maskilone berkata, pertemuan itu memberi ruang kepada pemain daripada kedua-dua pasukan untuk menguji keupayaan masing-masing, selain membina hubungan lebih erat menerusi aktiviti sukan.
Menurutnya, perlawanan seumpama itu turut membuka peluang kepada pemain berkongsi pengalaman, memperbaiki kemahiran serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Beliau berharap lebih banyak perlawanan persahabatan dapat diadakan pada masa akan datang bagi membantu mempopularkan sukan pickleball, terutama dalam kalangan pengamal media dan komuniti setempat.
Penolong Pengurus MedComm KK, Sandra Sokial turut membantu menyelaras penyertaan pemain serta memastikan perjalanan perlawanan berjalan lancar.
Sementara itu, Relly Rebels diketuai pengurusnya, Irwan Iswandy yang turut memberikan komitmen dalam menjayakan pertemuan berkenaan.
Selain persaingan di gelanggang, perlawanan itu turut menjadi peluang kepada kedua-dua pasukan membina semangat berpasukan dan memupuk hubungan persahabatan tanpa menjadikan keputusan perlawanan sebagai keutamaan.-DAKWAT RAKYAT POST
