KUALA TERENGGANU: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita, Siti Hawa binti Mamat, bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sedang dibicarakan di Mahkamah Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli bin Mohd Noor berkata, wanita berkenaan mempunyai alamat terakhir di Kampung Penarik, 22120 Bandar Permaisuri, Terengganu.
Menurutnya, pihak polis memerlukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu atau mengenalinya berdasarkan gambar yang disertakan dalam hebahan polis.
Orang ramai yang mengenali individu berkenaan turut diminta menyampaikan maklumat kepadanya supaya dapat hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Terengganu, ASP Joehany Fitry bin Mohamed menerusi talian 013-587 4898 atau Insp. Muhammad Syafiq bin Abu Bakar di talian 017-676 7926.
Azli berkata, kerjasama dan keprihatinan orang ramai dalam menyalurkan maklumat amat dihargai bagi membantu melancarkan siasatan kes berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
