KOTA KINABALU: Semua kementerian, jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri digesa memperkukuh kerjasama serta penyelarasan data bagi memastikan usaha membasmi kemiskinan di Sabah dilaksanakan secara lebih berkesan dan bersasar.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelaksanaan program secara berasingan tanpa penyelarasan mencukupi boleh menyebabkan pertindihan bantuan serta menyukarkan pemantauan keberhasilan setiap intervensi.
Katanya, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) telah diberi mandat untuk menyelaras agenda pembasmian kemiskinan negeri, namun kejayaannya turut bergantung kepada komitmen semua agensi dalam berkongsi maklumat penerima dan rekod bantuan.
“Tanggungjawab penyelarasan ini juga telah saya mandatkan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menyelaras agenda pembasmian kemiskinan negeri.
“Namun demikian, kerjasama menyeluruh daripada semua agensi masih perlu dipertingkatkan, khususnya membabitkan perkongsian data penerima, maklumat bantuan yang telah disalurkan dan pelaporan keberhasilan intervensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026, inisiatif Pelan Pembangunan SMJ 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar membabitkan 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) yang dikenal pasti menerusi Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2023 membuktikan kepentingan kerjasama antara agensi.
Menurutnya, sasaran berkenaan berjaya dicapai pada 31 Julai 2024, dalam tempoh kurang setahun, melibatkan 94,315 ahli isi rumah dengan jumlah keseluruhan 116,825 individu.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pencapaian sifar miskin tegar tidak bermakna semua keluarga terbabit bebas sepenuhnya daripada risiko kemiskinan kerana keadaan sosioekonomi mereka boleh berubah akibat kehilangan pekerjaan, penyakit, pertambahan tanggungan dan bencana.
Sehubungan itu, penggunaan data eKasih dan Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) akan terus diperkukuh sebagai rujukan rasmi bagi mengenal pasti pertindihan bantuan, jurang liputan serta keperluan tindakan susulan.
Beliau turut meminta Program MySMJ Profiling yang menempatkan pegawai di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengesahkan maklumat kemiskinan secara langsung di lapangan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi mengenal pasti latar belakang keluarga, keupayaan bekerja, keperluan latihan serta perubahan status sosioekonomi setiap isi rumah.
Hajiji berkata, sebanyak 54 agensi pemberi bantuan daripada Kerajaan Negeri, Persekutuan dan pemain industri kini terlibat dalam 134 intervensi yang merangkumi lima teras utama, iaitu perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan dan kewangan serta keusahawanan dan latihan.
Bagaimanapun, katanya, jumlah program dan peruntukan yang disalurkan tidak boleh dijadikan satu-satunya ukuran kejayaan tanpa bukti bahawa penerima benar-benar berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan.
Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan mutlak Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024, manakala kadar kemiskinan tegar berkurangan daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus.
Namun, Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi berbanding negeri lain dan melebihi paras nasional.
Sehubungan itu, beliau mahu 13 indikator tambahan miskin tegar Sabah yang dipersetujui pada 2023 digunakan sebagai instrumen penilaian bagi mengenal pasti punca kemiskinan serta menentukan bentuk bantuan yang bersesuaian untuk setiap keluarga.
Hajiji turut meminta semua dapatan dan cadangan daripada simposium itu dirumuskan menjadi pelan tindakan praktikal untuk pertimbangan Kerajaan Negeri sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan jelas.-DAKWAT RAKYAT POST
