TAPAH: Seorang anggota polis maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah van Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata dalam satu kenyataan media berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.35 pagi, 17 November 2026, ketika van jenis Maxus itu dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menuju ke Melaka.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tayar belakang sebelah kiri van berkenaan dipercayai pecah secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum melanggar penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.
Akibat kejadian itu, beberapa penumpang tercampak keluar dari kenderaan berkenaan, dengan seorang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Empat lagi mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut, manakala enam mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Tapah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Tapah di talian 05-401 1222 atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain menerusi talian 017-325 6140 bagi membantu siasatan.- DAKWAT RAKYAT POST.
