KUDAT: Ancaman dua bahan letupan tinggalan yang ditemukan di pesisir Pulau Balambangan berjaya dihapuskan menerusi operasi pemusnahan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Kontinjen Sabah, hari ini.
Kedua-dua bom udara itu masing-masing mempunyai berat 1,000 paun dan dikategorikan sebagai bahan letupan belum meletup atau Unexploded Ordnance (UXO).
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, operasi berkenaan mengambil masa dua hari bermula semalam bagi memastikan proses pemusnahan dapat dilakukan dengan selamat.
Pelaksanaan operasi membabitkan empat pegawai kanan polis dan 12 pegawai rendah polis daripada Cawangan Persenjataan, Jabatan Logistik dan Teknologi IPK Sabah serta Cawangan Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) Zon 2 Sabah.
Proses pemusnahan dilakukan secara berperingkat berikutan keadaan air laut yang mengalami perubahan pasang surut di kawasan penemuan.
“Faktor persekitaran turut diberikan perhatian bagi memastikan setiap tindakan pemusnahan dapat dilaksanakan dengan selamat dan terkawal.
“Hasil operasi yang dijalankan, kedua-dua bom udara berkenaan berjaya dimusnahkan sepenuhnya tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang operasi, aspek keselamatan diberi keutamaan bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap anggota yang terlibat serta kawasan sekitar.
IPK Sabah memaklumkan kejayaan itu membuktikan kecekapan dan kesiapsiagaan pasukan UPB Kontinjen Sabah dalam mengendalikan ancaman bahan letupan, sekali gus memastikan keselamatan masyarakat dan persekitaran terus terpelihara.-DAKWAT RAKYAT POST
