ALOR SETAR: Tiga individu yang terdiri daripada pasangan suami isteri berusia 59 tahun dan anak lelaki mereka berusia 31 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 4 Alor Setar, hari ini, bagi menghadapi keseluruhan 16 pertuduhan berkaitan kesalahan pemerdagangan orang.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah, prosiding di hadapan Hakim Sharmila binti Abdul Samad itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah, Natasha binti Azmi.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan beberapa syarat tambahan yang ditetapkan.
Kes berkenaan akan disebut semula pada 20 Disember 2026.
Pendakwaan itu susulan Op Pintu yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah pada 10 November lalu di sebuah premis di Alor Setar.
Dalam operasi berkenaan, seramai 16 wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang berjaya diselamatkan, manakala dua lelaki warga Malaysia ditahan bagi membantu siasatan.
Operasi itu turut menyaksikan penyitaan dua kenderaan, masing-masing sebuah SUV Toyota Rush dan MPV Toyota Avanza, selain 33 naskhah pasport Indonesia serta wang tunai berjumlah RM122,598.
JIM Negeri Kedah menegaskan komitmennya untuk terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan pemerdagangan orang serta penyeludupan migran.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan jabatan dalam membanteras jenayah rentas sempadan dan melindungi mangsa daripada eksploitasi.-DAKWAT RAKYAT POST
