BATU PAHAT: Seorang wanita tempatan berusia 54 tahun mengalami kerugian sebanyak RM748,326.50 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai kakitangan hospital dan pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Sharulanuar Mushaddat bin Abdullah Sani berkata, mangsa pada akhir Ogos lalu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mengaku sebagai wakil Hospital KPJ Rawang.
Menurutnya, suspek mendakwa terdapat pihak lain menggunakan nama mangsa bagi membuat tuntutan insurans sebelum panggilan berkenaan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.
Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa individu terbabit akan membantunya membuat laporan polis secara dalam talian.
Dalam helah seterusnya, suspek meminta mangsa menyerahkan kad ATM miliknya kononnya bagi tujuan siasatan pihak Bank Negara Malaysia (BNM).
Disebabkan ketakutan, mangsa akur dengan arahan berkenaan dan pada 3 September lalu meletakkan kad ATM miliknya di sebuah gerai nasi lemak berhampiran rumah seperti diarahkan.
Mangsa hanya menyedari berlaku transaksi mencurigakan selepas membuat semakan akaun bank pada minggu lalu, sebelum mendapati wang sebanyak RM673,326.50 telah dipindahkan ke beberapa akaun milik individu tidak dikenali.
Lebih malang, pada 4 November lalu, mangsa turut memasukkan wang berjumlah RM75,000 ke dalam tiga akaun bank berbeza secara berperingkat menggunakan mesin ATM dan mesin deposit tunai (CDM).
Perkara itu hanya terbongkar pada 15 November lalu apabila mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada kakaknya yang kemudian menyedari wanita itu telah menjadi mangsa penipuan.
Keseluruhan kerugian yang dialami mangsa dianggarkan RM748,326.50.
Menurut Shahrulanuar, polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan daripada individu tidak dikenali, terutama mereka yang mendakwa mewakili jabatan atau agensi kerajaan.
Orang ramai diminta membuat pengesahan terus dengan jabatan atau agensi berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan atau menyerahkan maklumat serta barangan peribadi.
Maklumat terkini berkaitan jenayah komersil juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp.-DAKWAT RAKYAT POST
