KUANTAN: Dua premis dipercayai dijadikan pusat panggilan bagi menjalankan kegiatan penipuan dalam talian jenis Love Scam diserbu polis dalam operasi berasingan di Kota Sultan Ahmad Shah, di sini, Isnin lalu.
Operasi pada 16 November itu membawa kepada penahanan 36 warga asing, terdiri daripada lima lelaki warga China, 20 lelaki dan 11 wanita warga Vietnam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari bin Abu Samah berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 4 petang di Taman Majistec dan membawa kepada penahanan 19 individu.
Menurutnya, serbuan kedua kira-kira jam 4.30 petang di taman yang sama menyaksikan 17 lagi individu ditahan.
Operasi berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama Pegawai Analisa Media Sosial.
Hasil pemeriksaan serta analisis yang dijalankan mendapati kedua-dua kumpulan berkenaan disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian jenis Love Scam yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Vietnam.
Dalam operasi itu, polis turut merampas 39 telefon bimbit, 28 komputer, 19 papan kekunci dan dua router.
Turut disita untuk siasatan lanjut ialah sebuah Perodua Ativa dan sebuah Proton X70 bersama kunci kenderaan.
Kesemua individu yang ditahan serta barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Pejabat Risikan/Operasi JSJK IPK Pahang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Ashari menegaskan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran atau hubungan mencurigakan menerusi media sosial.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti sedemikian diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu tindakan penguatkuasaan.-DAKWAT RAKYAT POST
