MUKAH: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun ditahan polis selepas disyaki menceroboh sebuah rumah sewa di Jalan Desa Mawar, di sini, pada 16 November lalu.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias berkata, suspek ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) kira-kira jam 5.50 petang selepas menerima maklumat daripada kaunter aduan Balai Polis Mukah mengenai kehadiran seorang lelaki tidak dikenali di dalam rumah berkenaan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, anggota polis mendapati rumah itu tidak berkunci sebelum masuk untuk melakukan pemeriksaan.
“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki berada di dalam sebuah bilik sebelum ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan serta siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal, suspek mengaku memasuki rumah berkenaan untuk berehat, namun gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemilik rumah yang ketika itu berada di Kuching turut mengesahkan tidak mengenali suspek dan tidak pernah memberi kebenaran kepadanya untuk berada di dalam rumah berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Menurutnya, polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan saksi dan anggota yang terlibat serta membuat semakan rekod keluar masuk suspek dengan Jabatan Imigresen Malaysia.
Suspek yang tidak bekerja itu direman selama tiga hari sehingga 20 November ini bagi membantu siasatan.
Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kehadiran individu mencurigakan dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara.-DAKWAT RAKYAT POST
