MEXICO: Miguel Ángel Félix Gallardo, tokoh utama yang pernah menguasai kegiatan penyeludupan dadah di Mexico dan dikenali sebagai ‘Bos Bos’ (Boss of Bosses), dilaporkan meninggal dunia pada Ahad, 15 November, ketika berusia 80 tahun.
Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Country 2000, Guadalajara, Jalisco, kira-kira jam 1.45 tengah hari waktu tempatan.
Félix Gallardo sebelum itu dilaporkan dipindahkan dalam keadaan kecemasan dari Penjara Puente Grande selepas mengalami komplikasi pernafasan, paras oksigen rendah serta gangguan kesedaran dan kekeliruan.
Bagaimanapun, punca rasmi kematiannya masih belum diumumkan setakat laporan awal berhubung kejadian itu.
Félix Gallardo yang berasal dari Culiacán, Sinaloa, merupakan antara pengasas utama Kartel Guadalajara yang aktif sekitar 1970-an dan 1980-an.
Beliau dikenali dengan gelaran ‘El Padrino’ atau Bapa Godfather serta ‘Bos Bos’ kerana pengaruh besarnya dalam kegiatan penyeludupan dadah, khususnya ganja dan kokain ke Amerika Syarikat.
Beliau turut menjadi antara tokoh utama dalam rangkaian jenayah terancang Mexico bersama Rafael Caro Quintero dan Ernesto Fonseca Carrillo, yang dikenali sebagai ‘Don Neto’.
Félix Gallardo ditahan pada April 1989 dan kemudian disabitkan dengan pelbagai kesalahan termasuk pengedaran dadah, penyeludupan senjata serta rasuah.
Beliau turut dipertanggungjawabkan atas penculikan dan pembunuhan ejen Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA), Enrique ‘Kiki’ Camarena, serta juruterbang Mexico, Alfredo Zavala Avelar, pada 1985.
Susulan kes berkenaan, beliau dijatuhi hukuman penjara 40 tahun sebelum menerima tambahan hukuman 37 tahun lagi berkaitan pembunuhan kedua-dua mangsa.
Kematiannya menutup riwayat salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam sejarah awal pembentukan kartel dadah utama di Mexico, yang meninggalkan kesan besar terhadap jenayah terancang dan perang terhadap penyeludupan dadah di rantau itu.-POTOSINOS CANSADOS.
