TAWAU: Bekas pegawai Unit Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berpangkat Inspektor dan isterinya menuntut ganti rugi RM60 juta menerusi saman sivil yang difailkan berhubung penahanan dan pendakwaan mereka dalam kes pembunuhan seorang pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, tiga tahun lalu.
John Kennedy anak Sanggah, 47, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa beliau dan isterinya menuntut RM40 juta sebagai ganti rugi am.
Ketika disoal balas oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber berhubung tuntutan berkenaan, John Kennedy bersetuju bahawa bahagiannya merangkumi kehilangan kebebasan diri, trauma emosi, kesakitan, penderitaan, kesengsaraan mental, tekanan fizikal, kerosakan reputasi, fitnah dan keaiban awam.
Pasangan itu turut menuntut RM20 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan (Aggravated and Exemplary Damages) atas dakwaan bahawa mereka ditahan dan didakwa bagi kesalahan yang menurut mereka tidak dilakukan, meskipun sudah mengemukakan bukti alibi bahawa mereka tidak terbabit dalam kes pembunuhan itu.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menilai tuntutan yang dikemukakan mereka berdua.
John Kennedy, yang memberi keterangan sebagai saksi ke-13, menolak cadangan pihak defendan bahawa tuntutan RM40 juta bagi ganti rugi am itu ditetapkan secara arbitrari dan rambang tanpa disokong laporan penilaian kerugian kewangan daripada pakar ekonomi atau penilai bertauliah.
Beliau turut mendakwa kerjayanya terjejas teruk, termasuk kehilangan peluang kenaikan pangkat, dan kini masih berkhidmat sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor.
Beliau bersetuju bahawa tidak mengemukakan surat panggilan temu duga kenaikan pangkat, surat perakuan ketua jabatan atau senarai kelulusan tapisan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang menunjukkan beliau sudah dijadualkan untuk dinaikkan pangkat ke Penolong Penguasa Polis (ASP) sebelum ditangkap.
Dalam pemeriksaan balas yang sama, John Kennedy mengesahkan dakwaannya bahawa beliau dipindahkan ke daerah lain selepas dibebaskan sehingga menyebabkan kehilangan elaun perkhidmatan.
Beliau menolak cadangan pihak defendan bahawa dakwaan berhubung prospek kerjaya dan kehilangan elaun itu sekadar spekulasi tanpa sokongan dokumen.
Sementara itu, peguam plaintif, Kamarudin Mohmad Chinki, ketika pemeriksaan semula meminta John Kennedy menjelaskan keterangannya berhubung sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah membuangnya daripada perkhidmatan atau menurunkan pangkatnya.
John Kennedy menjelaskan bahawa PDRM tidak pernah berbuat demikian, namun mendakwa rekod berkaitan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kekal dalam sistem sepanjang hayat dan boleh dijadikan ukuran bagi kenaikan pangkat seterusnya.
Kamarudin turut meminta John Kennedy menjelaskan sebab beliau menolak cadangan pihak defendan bahawa dirinya tidak mengemukakan Laporan Perubatan Pakar Psikiatri (Psychiatric Medical Report) bagi mengesahkan dakwaan mengalami masalah psikologi klinikal yang berpanjangan akibat kes itu.
John Kennedy tidak bersetuju dan menjelaskan bahawa pakar psikiatri dari Hospital Tawau pernah menilai kesihatan mentalnya ketika berada di Penjara Tawau serta memberinya ubat PSY, iaitu ubat penenang.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos membenarkan John Kennedy dilepaskan sebagai saksi selepas pemeriksaan semula selesai.
Terdahulu, saman John Kennedy dan Vivien difailkan dan dibicarakan bersama dua saman sivil berasingan yang turut difailkan oleh Khairul Azman Bakar secara individu serta Datuk Mat Zaki Md Zain bersama empat plaintif lain.-DAKWAT RAKYAT POST
