TAWAU: Bekas Ketua Staf Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mat Zaki Md Zain, dipanggil semula bagi menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas sesi pemeriksaan semula terhadapnya ditangguh bulan lalu susulan keadaan beliau yang kurang sihat.
Beliau yang berusia 62 tahun mendakwa, reputasi dan kerjayanya selama 38 tahun satu bulan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) terjejas teruk akibat penangkapan, penahanan dan pendakwaan yang disifatkannya sebagai tidak berasas.
Dakwaan itu dinyatakan ketika beliau menjawab soalan peguam plaintif, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon dalam pemeriksaan semula pada perbicaraan saman sivil RM190 juta terhadap PDRM dan 11 defendan lain.
Mat Zaki yang juga plaintif pertama dan saksi ke-11 itu berkata, sepanjang berkhidmat dalam PDRM, beliau tidak pernah terbabit dalam sebarang siasatan tatatertib dan tidak mempunyai rekod disiplin.
Menurutnya, siasatan tatatertib terakhir berkaitan kes bunuh yang dihadapinya sebelum ini juga sudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Ketua Polis Negara.
“Reputasi saya terjejas teruk adalah disebabkan oleh tangkapan salah, pertuduhan salah dan penahanan salah ke atas diri saya,” katanya ketika diminta menjelaskan jawapan berhubung dakwaan reputasinya tercalar akibat pelanggaran tatatertib perkhidmatan awam.
Mat Zaki mendakwa penahanan dan siasatan tatatertib terhadapnya memberi kesan kepada pembayaran faedah persaraan yang hanya diterima beberapa bulan selepas bersara.
Beliau berkata, bayaran berkenaan tidak dibuat sekali gus, sebaliknya dalam dua peringkat selepas kertas siasatan tatatertib diklasifikasikan sebagai NFA.
Mat Zaki turut menjelaskan bahawa peluang kenaikan pangkat terakhirnya ke jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) terjejas selepas ditangkap dan dituduh pada 2023, ketika beliau sudah berada pada tahun terakhir perkhidmatan sebelum bersara wajib pada Februari 2024.
Beliau berkata, rekod kenaikan pangkatnya menunjukkan beliau dinaikkan pangkat pada 2015, 2018 dan 2021 sebelum penahanan berkenaan berlaku.
Dalam prosiding sama, beliau menafikan dakwaan bahawa tuntutan kerugian perniagaan bot pelancong bernilai RM518,000 tidak wajar kerana perniagaan itu didaftarkan atas nama anaknya.
Katanya, perniagaan berkenaan mengendalikan dua bot pelancong yang berdaftar di Semporna dan menggunakan nama anaknya kerana beliau masih berkhidmat dalam pasukan polis ketika perniagaan itu didaftarkan.
Beliau mendakwa kedua-dua bot berkenaan mengalami kerosakan sehingga tidak ekonomik untuk dibaiki selepas ditinggalkan di sebuah pulau ketika beliau dan plaintif lain ditahan.
Pada akhir pemeriksaan semula, peguam bagi empat plaintif memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak mereka menutup kes dengan mengemukakan 12 saksi.
Sharatha turut memaklumkan permohonan untuk tidak meneruskan tindakan saman terhadap defendan kelima, Allahyarham Asisten Komisioner Jasmin Hussin yang meninggal dunia pada 17 Jun 2026.
Pihak Peguam Kanan Persekutuan (SFC) juga tidak membantah permohonan lisan itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos membenarkan permohonan peguam bagi ketiga-tiga saman berkenaan tanpa perintah kos.-DAKWAT RAKYAT POST
