OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Seorang pemandu van direman empat hari selepas ditahan bersama 492,000 batang rokok dan 880 bungkus tembakau disyaki tidak bercukai di kawasan Icebox Titingan, di sini, awal pagi tadi.
Majistret Don Stiwin Malanjum mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 45 tahun itu selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat kes, Inspektor Voon Yu Wei.
Tempoh reman itu bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Terdahulu, suspek ditahan kira-kira jam 1 pagi oleh sepasukan anggota Tiger Platoon Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau dalam operasi khas hasil maklumat dan risikan berkaitan kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.
Selepas kira-kira 30 minit menjalankan pemerhatian, pasukan itu mengesan sebuah van Toyota Hiace berwarna putih yang dipandu suspek bergerak ke arah bulatan Icebox.
Pemeriksaan dalam van itu menemukan 300,000 batang rokok jenama Premium, 128,000 batang LA Ice Purple Boost dan 64,000 batang LA Ice Mango Boost serta 880 bungkus tembakau jenama Shag Tobacco.
Van berkenaan turut disita sebagai barang kes. Suspek dan semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.-DAKWAT RAKYAT POST
