Screenshot
Editorial
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan berbangsa India yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun di sekitar Kuala Lumpur maut ditembak dalam satu serbuan polis di sebuah bilik di Chow Kit, awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Haji Marsus berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi, ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kuala Lumpur bersama Bukit Aman menjalankan serbuan terhadap suspek.
Menurutnya, suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis sebelum pihak berkuasa membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan memastikan keselamatan anggota terlibat.
Suspek kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk senjata api serta dadah disyaki jenis syabu yang ditemukan di dalam bilik suspek.
Siasatan awal mendapati suspek menggunakan teksi sebagai modus operandi untuk menyamun penumpang, khususnya wanita dan warga emas.
Susulan tindakan itu, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 24 kes yang dilaporkan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek lain yang dipercayai turut terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.-DAKWAT RAKYAT POST.
